Isu Semasa

Hiburan

Informasi

Teknologi

Gambar

Agama

Gaya

Sebenarnya Saya Tidak Mahu Bercakap Mengenai Perkara Ini - Tasha Shilla

Posted by Newslah on Friday, February 8, 2013 | 0 comments | Leave a comment...


Tasha Shilla

Pelakon Tasha Shilla mengakui sedang bercinta dengan seorang lelaki yang dikenalinya sejak enam tahun lalu.

Bagaimanapun Tasha atau nama sebenarnya Natashashella Abdul Razak, 26, berkata, dia enggan mengulas secara terperinci mengenai identiti lelaki tersebut.

"Cukup saya ingin memberitahu yang kini saya sudah berpunya dan kami masih lagi saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.

"Sebenarnya saya tak mahu bercakap mengenai perkara ini. Tetapi memandangkan sudah ditanya, itu sahaja yang saya dapat beritahu," katanya.

Tasha ditemui pada pelancaran drama terbaharu bagi slot Akasia TV3, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi di Hotel JW Marriot di sini bersama pelakon-pelakon lain iaitu Fahrin Ahmad, Lydiawati, Datuk Rahim Razali dan Fouziah Gous.

Tambah Tasha, kekasihnya itu bukanlah daripada mereka di kalangan selebriti dan dia tidak akan membawa lelaki itu ke majlis-majlis hiburan.

"Biarlah ia menjadi urusan peribadi saya," tuturnya.

Sementara itu, Tasha bakal melancarkan “single” lagu pertamanya bersama kumpulan Tiga Swagger (TS) berjudul Sayang Pulanglah Sayang.

"Walaupun hanya memerlukan saya menyanyi rap dalam lagu itu, ia adalah satu cabaran buat saya.

"Tambah pula lagu ini merupakan hadiah saya buat peminat, saya tidak mahu mengecewakan mereka.

"Sekiranya mendapat respons bagus, insya-Allah saya akan muncul dengan lagu seterusnya," tuturnya.

Mengenai Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, Tasha melakonkan watak bernama Ain Farohah, seorang wanita yang difitnah bersekedudukan sehingga ditangkap khalwat dengan Firdaus (Fahrin).

Firdaus dan Ain terjerat dengan rancangan Faiz (Shahrizal Jaszle) sehingga kedua-dua mereka dihalau oleh bapa Firdaus, Haji Ilham.

Bagaimanapun, Firdaus bertanggungjawab ke atas Ain dengan menikahinya dan berhijrah ke Abu Dhabi lalu bekerja sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat swasta.

"Untuk watak ini, saya rasa seronok sedikit untuk melakonkan watak Ain kerana ia memerlukan saya terlalu beremosi dan mengeluarkan air mata.

"Memang ia sebuah drama menarik yang wajib ditonton buat semua peminat," ujarnya.

Imej terbaru Catriona Ross - 'Jangan Hina Orang Yang Tidak Bertudung'

Posted by Newslah on | 2 comments | Leave a comment...

Imej terbaru Catriona Ross

Pelakon Catriona Ross menasihati sesiapa sahaja termasuk artis yang bertudung agar tidak menghina individu lain kerana Allah boleh menarik semula hidayah itu sekelip mata.

Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, agak sedih kerana terdapat individu yang mendakwa sudah memperoleh hidayah tetapi masih merendah-rendahkan orang lain dengan kata-kata yang kurang manis.

“Saya sedih dengan sesetengah pihak yang sudah berubah tetapi cuba memperlekehkan orang lain yang tidak bertudung. Jangan buat macam itu! Setiap manusia ada fasanya dan Allah itu boleh tarik bila-bila masa sahaja hidayah yang diberi,” katanya kepada mStar Online.

Pelakon ini diminta memberi pandangan mengenai artis-artis wanita sejak kebelakangan ini mengambil pendekatan menutup aurat.

Catt yang sudah bertudung sejak tiga tahun lalu berkata, setiap individu yang telah diberi petunjuk haruslah tidak berusaha untuk merenggangkan diri dengan rakan-rakan yang masih lagi belum berubah sebaliknya terus berkawan dengan mereka sebagai sahabat baik.

Malah orang atau artis yang bertudung seharusnya menjadi contoh kepada individu lain agar perubahan itu dapat diikuti oleh teman-teman mereka.

“Saya mengambil sikap berkawan dengan semua orang tidak kiralah mereka pakai tudung ataupun tidak. Saya percaya apabila Allah mengetuk pintu hati seseorang untuk berubah, dia akan berubah.

“Begitulah apabila orang yang sudah menutup aurat, tidak mustahil dia akan pakai skirt pendek semula jika tewas dengan ujian Allah,” tambahnya lagi.

Sementara itu ketika ditanya ke mana dia menghilang selepas berumah tangga Catt berkata, selepas melahirkan anak pertama iaitu Sephia Rani Ross’iddin yang kini berusia tiga tahun, Catt mengambil pendekatan berehat sebentar daripada dunia lakonan untuk membesarkan anaknya itu.

Malah dia juga bimbang anaknya dijaga pembantu rumah kerana ketika dilahirkan, kes-kes bayi dilarikan orang gaji agak berleluasa.

“Dulu saya memang takut nak ambil pembantu rumah. Takut anak dibawa lari. Lebih baik saya senyap sekejap dan beri tumpuan pada anak sehinggalah dia dah besar, barulah saya nak aktif berlakon semula,” katanya.

Jelas Catt selain Sephia Rani, dia juga mempunyai seorang lagi anak iaitu Jammal Raess Ross’iddin yang baru berusia enam bulan, hasil perkahwinannya dengan Shaharuddin Mokhtaruddin, 34.

Bagaimanapun kali ini Catt telah mendapat seorang pembantu rumah yang benar-benar boleh dipercayai untuk menjaga anak-anaknya agar membolehkan dia berlakon.

Kata Catt, pada ketika ini dia sedang aktif berlakon drama Bila Mak Mengandung Lagi untuk siaran Astro.

Malah dia tidak menganggap perubahan imejnya sebagai wanita bertudung telah mengehadkan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon.

“Saya mahukan pelbagai jenis watak dan saya tidak kisah kalau diberikan watak wanita jahat yang bertudung. Tidak semestinya kalau kita bertudung, kita harus berimej baik.

“Cuma, jika watak berpegangan tangan atau berpelukan dengan lelaki itu sahajalah yang perlu saya tolak,” katanya.

Kehilangan Sebutir Lagi Permata Negara Dalam Bidang Komedi Meninggalkan Kesan Mendalam Kepada Ramai Pihak

Posted by Newslah on | 0 comments | Leave a comment...


Tiada lagi hilai tawa dan lawak jenakanya yang bersahaja. Melihat gelagatnya bersama A R Badul dalam filem Prebet Lapok, ia cukup mencuit hati. 

Kehilangan sebutir lagi permata negara dalam bidang komedi meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak, terutama rakan seperjuangan dalam dunia seni. Datuk Yahya Sulong, 85, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, kelmarin, kerana sakit tua. 

Sebut saja nama artis veteran ini, sudah pasti ramai membayangkan keletah lawaknya yang menggeletek hati penonton, walaupun ada ketika jenakanya kuat dengan sindiran. 

Bakat Yahya atau mesra disapa Pak Ya bermula sejak membintangi bangsawan sekitar era 1940-an, namun disebabkan ketika itu banyak panggung ditutup, beliau memilih untuk berkhidmat dengan pasukan polis hutan sekitar 1948. 

Selepas lebih sedekad berkhidmat dengan pasukan polis, dengan pangkat terakhir sebagai sarjan ketika berkhidmat di Balai Polis Ipoh, Pak Ya berjinak-jinak semula dalam bidang seni dengan membintangi filem pertama berjudul Abu Nawas pada 1961. 

Sejak itu, dia membintangi lebih 24 filem, antaranya Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Miang-Miang Keladi, Da Di Du, Toyol, Si Luncai, Prebet Lapok dan Senario The Movie.

Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham kehilangan besar bukan saja kepada industri seni tetapi juga kepada negara kerana jasa dan pengorbanannya yang turut sama terbabit dalam melindungi kedaulatan negara. 

“Saya dapat berita mengenai kematiannya ketika di atas pentas menyampaikan sumbangan untuk artis di Sarawak. Saya memang sangat terkejut dengan pemergiannya kerana dia artis yang berbakat bukan saja dalam bidang lakonan tetapi bidang muzik. 

“Dia juga sangat rapat dengan saya, malah pernah bermain dram untuk saya. Dia pelawak yang sangat disegani dan kehilangannya amat dirasai seluruh industri seni,” katanya sambil memberitahu akan berusaha meringankan beban isterinya, Datin Alisah Ali, 68.

Info: Yahya Sulong

* Yahya pernah menceburi bidang seni suara bersama kumpulan 4 Serama dan menghasilkan album berjudul Rencah Ketawa Asam Pedas bersama Mek Habsah dan Osman Kering.

* Antara album pernah dihasilkannya, Oh Fatimah dan Apa Dah Jadi. 

* Meskipun berdepan masalah kesihatan, minat terhadap muzik masih diteruskan dan sering membuat persembahan bersama kumpulan Ahmad Sharif Trio sebagai pemain gendang.

* Kali terakhir Yahya beraksi bersama kumpulan terbabit ketika membuat persembahan di Konsert Gala sempena Hari Jazz Antarabangsa, Mei tahun lalu.

Google+ Hangout Dikemaskini Dengan Fungsi Menghantar Dan Menerima Audio Sahaja

Posted by Newslah on | 0 comments | Leave a comment...


Salah satu fungsi popular yang digunakan ramai pada Google+ adalah sokongan Hangout, dan hari ini, gergasi internet tersebut mengemaskini fungsi Hangout dengan menambah dua fungsi baru padanya.

Yang pertama adalah sokongan mod audio sahaja. Sebelum ini sendiri, Google+ Hangout telah sedia menyertakan sokongan untuk mematikan webcam dan dengan mod audio ini, ia memudahkan pengguna dengan sambungan internet rendah untuk hanya menerima dan menghantar audio sahaja.

Selain itu, satu lagi fungsi yang dikhaskan untuk pengguna dengan sambungan internet yang perlahan adalah kebolehan untuk mengawal penggunaan bandwidth. Melaluinya, pengguna boleh membuat tetapan daripada penggunaan bandwidth tinggi sehingga ke menetapkan audio sahaja untuk penghantaran dan penerimaan.

Kedua-dua fungsi ini bakal diperkenalkan secara berperingkat kepada semua bermula hari ini.

Pengutip Hutang Ditembak

Posted by Newslah on | 3 comments | Leave a comment...


Lokasi kejadian mangsa ditembak.

Subang Jaya: Seorang pengutip hutang mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Puchong Utama, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Lee Sam Ong, 41, yang duduk di bahagian penumpang depan kereta dipandu isterinya disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke pusat perubatan swasta berdekatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, selain mangsa dan isterinya, adik lelaki mangsa berusia 35 tahun turut berada dalam kereta berkenaan.

“Ketika itu, mereka baru pulang dari makan tengah hari di sebuah restoran di Taman Puchong Utama sebelum didatangi sebuah motosikal Yamaha LC ditunggang dua lelaki bertopi keledar berpenutup penuh ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian.

“Lelaki terbabit yang berada di sebelah mangsa melepaskan beberapa das tembakan yang menembusi dada, leher, lengan dan bahu kirinya,” katanya.

Menurut Yahaya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihaknya menemui dua kelongsong peluru Luger 9 milimeter (mm) dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) masih dijalankan pihak forensik.


Katanya, mangsa yang juga pengutip hutang untuk mana-mana syarikat yang memerlukan khidmatnya mempunyai beberapa pekerja dan baru berpindah di USJ 4, dekat sini, sejak setahun lalu.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Terkini